Melaka: Pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengadakan tinjauan ke Balai Polis Banda Hilir, di sini, semalam, susulan tular video dua pintu masuk ke bangunan itu terbuka sendiri hingga mendapat perhatian netizen.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM Rahimin Bani berkata, hasil tinjauan sejam pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian pintu bergerak itu disebabkan gangguan makhlus halus.
Beliau berkata, umat Islam harus percaya tiada perkara mustahil boleh berlaku selain kewujudan jin di dunia ini termasuklah golongan jin Ifrit yang mampu menjelma sebagai manusia dan mengangkat sesuatu benda seperti dimaksudkan dalam surah An-Naml, ayat ke-39.
“Menerusi pemerhatian di Balai Polis Banda Hilir, hari ini (semalam), saya tidak tolak kemungkinan besar insiden dua pintu masuk terbuka sendiri yang heboh di media sosial berpunca gangguan makhluk halus.
“Malah, kalau dilihat pada sejarahnya pun sudah cukup meyakinkan mengenai kewujudannya (makhluk halus) di sini, apatah lagi kedudukannya berdepan penjara lama,” katanya.
Rahimin mencadangkan lebih banyak program berbentuk kerohanian dan keagamaan dianjurkan di balai polis itu bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Jelasnya, program seumpama itu penting bagi melancarkan tugas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Balai Polis Banda Hilir.
Metro Ahad melaporkan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Balai Polis Banda Hilir menjadi tular selepas dua pintu masuk terbuka sendiri.
No comments:
Post a Comment