Bulan ini terdapat beberapa permainan video pilihan penulis yang wajar dibeli. Bukan saja kerana gaya permainannya tapi juga versi ‘remaster’ yang perlu dimiliki untuk konsol terkini anda.
1. Uncharted: The Lost Legacy
Nampaknya kejayaan francais Uncharted diteruskan dengan judul terbaru, The Lost Legacy. Tapi bagi peminat tegar, anda mungkin sedikit kecewa kerana Nathan Drake tidak boleh dimainkan dalam judul ini.
Chloe Frazer yang pernah diperkenalkan dalam Uncharted 2 kini kembali dan digandingkan dengan Nadine Ross untuk menjejaki Tusk Of Ganesha, sebuah artifak dari sejarah India sejak zaman Kerajaan Hoysala.
Dalam pada itu, mereka berdua perlu mengembara dalam perlumbaan masa daripada membiarkan artifak itu jatuh ke tangan seorang panglima perang dari India, Asav.
Ia akan tiba di Playstation 4 sebagai permainan eksklusif pada 22 Ogos ini.
2. LIFE IS STRANGE: BEFORE THE STORM
Permainan popular keluaran Square Enix sekali lagi akan menggemparkan pemain konsol di Malaysia tapi kali ini ia bukan sekuel.
Dalam prekuel ini, pemain akan bermain sebagai Chloe Price bukan lagi sebagai Max Caulfield. Menariknya dalam keluaran ini, ia akan menerangkan apa yang terjadi kepada Chloe selepas meninggalkan Arcadia Bay untuk ke Seattle.
Namun, di sebalik kejutan itu, peminat pastinya sedikit kecewa kerana tiada elemen merentas masa. Kemahiran ‘Backtalk’ diperkenalkan bagi membolehkan Chloe mengelakkan diri dari situasi tidak menentu.
Life Is Strange: Before the Storm akan hadir ke Playstation 4, Xbox One dan PC pada Hari Merdeka ini.
3. Sonic Mania
Sempena ulang tahun ke-25 francais Sonic the Hedgehog, pembangun PagodaWest Games dan Headcannon membangunkan judul ini yang diinspirasikan daripada siri Sonic di Sega Genesis.
Lebih menarik, ia mengekalkan stail 16-bit dan grafik 2D. Pemain boleh menikmati ‘level’ baru selain melawati beberapa lokasi terdahulu yang diperkenalkan dalam siri asal.
Ia akan dipasarkan di seluruh dunia bermula pertengahan bulan ini (15 Ogos).
4. Yakuza Kiwami
Bagi sesiapa yang meminati siri Yakuza, anda boleh menarik nafas lega kerana permainan keluaran pertama berjudul Yakuza kini mendapat ‘remaster’.
Kelainan dalam siri ini boleh dilihat apabila pemain mampu menggunakan teknik berlawan berbeza dalam pertarungan sebagai Kazuma Kiryu.
Di Jepun, versi PS4 dan PS3 mendapat jualan paling laris ketika minggu keluarannya dengan jualan 103,256 unit untuk konsol PS4 dan 60,427 bagi PS3.
Yakuza Kiwami akan dipasarkan di seluruh dunia bermula 29 Ogos ini.
5. MARIO + Rabbids: Kingdom Battle
Rasanya gabungan dua pembangun menghasilkan satu permainan video yang menarik bukan lagi perkara baru. MARIO + Rabbids: Kingdom Battle antara permainan video dalam kategori itu yang juga percubaan pertama di pasaran.
Permainan t259aktikal ‘role-playing’ dengan sistem giliran ini memaparkan karakter dari Mario keluaran Nintendo dan francais Raving Rabbids dari Ubisoft.
Ia juga mengetengahkan elemen penerokaan dan pemain boleh menjangkakan kemunculan Mario, Luigi, Princess Peach, Yoshi serta empat hero Rabbids sambil dilengkapi pelbagai senjata efektif.
Mario + Rabbids: Kingdom Battle akan hadir secara eksklusif di Nintendo Switch pada 29 Ogos.
No comments:
Post a Comment